Oleh: Prof. Dr. Ahmed Abdul Hadi Syahin
Persaudaraan Islam termasuk salah satu komponen kekuatan, iaitu:
1. Kekuatan iman dan akidah
2. Kekuatan persaudaraan dan ikatan
3. Kekuatan penolong dan senjata
Tiga kekuatan inilah yang menjadikan masyarakat di zaman nabi terlalu istimewa dan menjadi masyarakat mithali yang menyebabkan nabi Berjaya mengembangkan Islam dan mengibarkan panji tauhid ke tempat yang tertinggi dan meneguhkan Islam di muka bumi tidak kurang daripada setengah kurun lamanya.
Pada hari ini wahai saudara sekalian..pada kurun ke lima belas hijrah, kita berusaha memperbaharui kekuatan ini di kalangan muslimin, kerana terbukti ia memberi kesan yang kuat dan efektif untk mengembalikan umat seperti keagungan di zaman silam dan keunggulan yang lampau.
1. Kedudukan persaudaraan
Persaudaraan Islam (ukhuwwah Islamiah) merupakan satu nikmat dari Allah, satu kurniaan yang suci daripada Allah SWT, satu pancaran rabbani yang dihadiahkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya yang ikhlas dan penolong-penolongNya yang tulus.
Benar, persaudaraan adalah satu nikmat daripada Allah kerana Dialah yang memberinya. Firman Allah:
“lalu menjadilah kamu Karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara”. (Ali-Imran: 103)
Persaudaraan adalah kurniaan dari Allah, kerana Dialah yang memberinya. Firman Allah:
“walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah Telah mempersatukan hati mereka”. (Al-Anfal: 63)
Firman Allah:
“dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, Maka Allah mempersatukan hatimu”. (Al-Anfal: 103)
Justeru persaudaraan adalah nikmat, kurniaan, penyatuan, kemesraan dan kasih saying. Daripada Nu’man bin Basyir bahawa nabi saw telah bersabda:
“Perumpaan orang-orang mukmin di dalam berkasih mesra dan saying-menyayangi seperti satu tubuh, apabila salah satu anggotanya menderita sakit, akan menyebabkan seluruh anggota yang lain untuk berjaga malam dan demam”. (Muslim)
Persaudaraan Islam Berjaya membangunkan umat Islam dengan suatu binaan yang tersusun kukuh dan bangunan yang teguh, kerana persaudaraan Islam adalah sekuat-kuat binaan maknawi dan ikatan yang menyatukan sesuatu masyarakat. Persaudaraan Islam juga lebih kuat daripada binaan kebendaan, kerana binaan kebendaan mudah terdedah kepada kehancuran dan keruntuhan di hadapan factor perosak dan perubahan masa. Oleh itu persaudaraan Islam seakan-akan sebuah batu besar yang menghancurkan semua alat pemecah batu di hadapannya. Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a, nabi saw bersabda:
“Orang mukmin bagi mukmin yang lain seumpama sebuah binaan yang saling kukuh-mengukuhkan antara satu sama lain”. (Bukhari)
Persaudaraan tidak mampu dibeli dengan harta dan wang, tidak mampu diwariskan melalui kata-kata tetapi persaudaraan berlaku melalui pergaulan dan pencampuran ruh dengan ruh, pelukan hati dengan hati dan ia merupakan ciri-ciri keistimewaan mukmin yang soleh. Daripada Jabir bin Abdullah r.a nabi saw bersabda:
“Orang mukmin adalah sentiasa mengasihi dan dikasihi, dan tiada kebaikan bagi orang yang tidak mengasihi dan tidak dikasihi”. (Ibn Hibban)
Persaudaraan Islam adalah berkait dengan iman dan takwa. Begitu juga iman berkait dengan persaudaraan. Firman Allah:
“Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara”. (Al-Hujurat: 10)
Iaitu bukanlah orang-orang mukmin melainkan ada persaudaraan, bukanlah persaudaraan yang sebenar melainkan ada persaudaraan iman, kerana seandainya anda melihat persaudaraan tanpa iman, ia hanyalah persaudaraan dusta, tiada akar umbi dan tiada berbuah. Seandainya anda melihat iman tanpa persaudaraan, maka ia hanyalah iman yang lemah tidak sampai tahap yang sepatutnya dan kadang kala sampai membawa kepada permusuhan. Firman Allah:
“Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa”. (Az-Zukhruf: 67)
Persaudaraan Islam menjadikan masyarakat muslim seluruhnya sebagai satu ruh dan satu tubuh. Seperti kata penyair:
“Apabila saya melihatnya dia pun melihat saya # apabila ia melihat saya bererti ia melihat kami”.
2. Kelebihan persaudaraan
Persaudaraan Islam mempunyai banyak kelebihan dan faedah yang besar berupa ganjaran dan pahala kerana ia membawa kesan yang baik ke dalam masyarakat dalam usaha menyatukan pandangan, mengumpulkan barisan dan mempertautkan hati. Di antara kelebihan tersebut ialah:
- Mereka yang menghidupkan persaudaraan Islam merasai kemanisan iman tetapi selain mereka tidak dapat merasainya. Daripada Anas bin Malik r.a bahawa nabi saw bersabda:
“Tiga perkara sesiapa yang terdapat padanya akan merasai kemanisan iman; iaitu orang yang menjadikan Allah dan rasulNya lebih dicintai daripada yang lainnya, mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah dan membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan dirinya sepertimana ia membenci dihumbankan ke dalam api neraka”. (Bukhari)
- Mereka berada di dalam lembayung kasih sayang ilahi dan mendapat naungan Arasy Allah. Allah akan berkata pada hari Kiamat nanti seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith Qudsi daripada Abu Hurairah r.a:
“Manakah orang-orang yang berkasih sayang keranaKu? Pada hari ini Aku akan menaungi mereka di bawah naunganKu pada hari tiada naungan melainkan naunganKu”. (Muslim)
Dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah r.a nabi saw bersabda:
“Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari tiada naungan kecuali naunganNya, mereka….dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah yang bertemu dan berpisah keranaNya”. (Bukhari)
Daripada Abu Hurairah r.a, nabi saw bersabda:
“Ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya di daerah yang lain, lalu Allah menghantar Malaikat untuk menyusulnya. Malaikat itu mendekatinya sambil bertanya: “Ke mana anda ingin pergi?”. Lalu dijawab lelaki itu: “Saya ingin menziarahi saudara saya di daerah ini”. Malaikat bertanya lagi untuk mengujinya: “Adakah anda akan mendapat apa-apa keuntungan daripada ziarah ini?”. Lalu dijawab lelaki itu: “Tidak, aku menziarahinya semata-mata kerana cintaku kepadanya kerana Alla”h. Malaikat itu menjelaskan: “Aku sebenarnya diutus Allah kepadamu untuk menyatakan bahawa Allah menyukaimu sebagaimana anda menyukai saudaramu kerana Allah”. (Muslim)
- Mereka adalah penghuni syurga di hari Kiamat. Hadith nabi daripada Abu Hurairah r.a, nabi saw bersabda:
“Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, maka malaikat akan berseru kepasda keduanya supaya kamu mendapat kebaikan dan kebahagiaan akan mengiringi kamu dan akhirnya kamu mendiami tempat di syurga”. (Tirmizi)
Daripada Abu Hurairah r.a bahwa nabi saw bersabda:
“Di sekeliling Arasy terdapat mimbar daripada cahaya, di dalamnya ada satu kaum yang memakai pakaian daripada cahaya, wajah mereka kelihatan bercahaya, mereka bukan anbiya’ dan bukan syuhada’ bahkan para nabiya’ dan syuhada’ senang hati dengan mereka. Lalu sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, terangkan kepada kami siapakah mereka?. Nabi menjawab: Mereka adalah golongan yang saling berkasih saying kerana Allah (di jalan Allah), mereka saling bersaudara kerana Allah dan saling ziarah-menziarahi kerana Allah”. (Al-Iraqi berkata perawinya dipercayai)
- Persaudaraan termasuk perbuatan paling utama dan ibadah yang mendekatkan hamba kepada Allah. Daripada Barra’ bin Azib r.a bahawa nabi saw pernah ditanya tentang iman yang paling utama. Nabi saw bersabda:
“Kamu cinta kerana Allah dan kamu benci kerana Allah”. Ada sahabat bertanya: “Apakah maksudnya wahai Rasulullah?”. Nabi menjawab: “Kamu menyukai manusia sebagaimana kamu menyukai dirimu sendiri dan membenci mereka sebagaimana kamu membenci dirimu sendiri”. (Al-Munziri)
- Mereka diampunkan dosa-dosanya. Daripada al-Barra’ bin Azib bahawa nabi saw bersabda:
“Apabila dua orang Islam bertemu dan bersalaman, maka lenyaplah dosa-dosa mereka berdua sepertimana daun-daun yang gugur dari pokok pada malam yang sangat dingin”. (Al-Iraqi berkata sanadnya lemah)
3. Syarat dan hak
- Syaratnya hendaklah kerana Allah dan demi mengharapkan keredhaan Allah, bukan mengingini apa-apa manfaat, atau kepentingan dan bukan kerana tujuan-tujuan keduniaan, tetapi matlamatnya hanya mengharapkan keredhaan Allah yang pertama dan terakhir, dan menguatkan binaan dalaman umat Islam bagi menghadapi serang pemikiran dan ketenteraan yang bercita-cita merosakkan akidah umat dan agamanya. Daripada Umar bin al-Khattab r.a bahwa nabi saw bersabda:
“Sesuatu pekerjaan dimulakan dengan niat..”. (Bukhari)
- Hendaklah saling bantu-membantu semasa senang dan susah, gembira dan duka, lapang dan sempit. Nabi as telah memohon Allah SWT untuk menguatkan usahanya menyampaikan dakwah dengan mengutuskan saudaranya nabi Haron as. Katanya:
“Dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku. (yaitu) Harun, saudaraku. Teguhkanlah dengan dia kekuatanku. Dan jadikankanlah dia sekutu dalam urusanku. Supaya kami banyak bertasbih kepada Engkau. Dan banyak mengingat Engkau. Sesungguhnya Engkau adalah Maha melihat (keadaan) kami". (Thaha: 29-35)
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa nabi saw bersabda:
“Tiada satupun hartabenda seseorang yang boleh memberi manfaat kepadaku seperti manfaatnya harta Abu Bakr”. (Tirmizi)
Daripada Abdullah bin Umar r.a bahawa nabi saw:
“Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, oleh itu janganlah kamu menzaliminya, membiarkannya dan tidak menolongnya..seseorang itu dikira melakukan kejahatan sekiranya menjauhi saudaranya melebihi tiga hari, ketika kamu bertemu sebutlah ini dan sebutlah ini, sebaik-baiknya dimulakan dengan memberi salam”. (Muslim)
- Menunaikan hak-hak yang umum di dalam Islam kepada saudara yang lain sekurang-kurang. Daripada Abu Hurairah dari nabi saw:
“Hak muslim ke atas muslim yang lain ada enam; apabila bertemu ucaplah salam kepadanya, apabila bersin ucapkanlah yarhamkallah, apabila sakit pergilah menziarahinya, apabila mati iringilah jenazahnya, apabila bersumpah bersihkan dirinya dan apabila dijemput penuhilah jemputannya”. (Muslim)
4. Contoh perlaksanaan persaudaraan
- Contoh pertama yang terbayang di benak muslim dalam perlaksanaan persaudaran ialah seperti yang dilakukan oleh nabi saw yang telah mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar, Aus dan Khazraj. Nabi saw telah memegang kedua-dua tangan golongan Muhajirin dan Ansar sambil bersabda:
“Kalian telah dipersaudarakan kerana Allah dua orang dua orang”.
Justeru baginda telah mempersaudarakan Saad bin Rabi’ dan Abdul Rahman bin Auf. Oleh itu Saad telah menawarkan Abdul Rahman untuk membahagikan separuh daripada hartanya, memberikan satu rumahnya dan menceraikan salah seorang isterinya untuk dikahwinkan kepada Abdul Rahman. Begitulah berhati mulianya golongan Ansar menyantuni golongan Muhajirin. Namun Abdul Rahman menolaknya: “Biarkanlah harta, rumah dan isterimu untukmu..tetapi tunjukkanku di mana pasar supaya aku boleh berniaga!”. Saad meminjamkan beberapa dirham bagi memulakan perniagaan. Lalu Allah telah membuka pintu rezeki kepada Abdul Rahman.
Firman Allah:
“ (juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (karena) mencari karunia dari Allah dan keridhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan RasulNya. mereka Itulah orang-orang yang benar. Dan orang-orang yang Telah menempati kota Madinah dan Telah beriman (Anshor) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshor) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). dan mereka (Anshor) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka Itulah orang orang yang beruntung”. (Al-Hasyr: 8-9)
- Semasa tentera muslimin Berjaya menawan 70 orang musyrikin di Badar terdapat saudara kandung Mus’ab bin Umair, bernama Aziz sebagai tawanan. Lalu Mus’ab melihat saudaranya sambil berkata kepada sahabat lain: “Layanlah dengan keras ke atas tawananmu ini, dan mintalah darinya berapa banyak harta yang kamu ingini kerana ibunya seorang yang berharta (kaya). Lantas Aziz berkata: “Adakah patut kamu berkata begitu kepada saudara kandungmu? Namun Mus’ab menempelaknya dengan berkata sambil menunjukkan kepada tentera muslim: “Kamu bukan saudara aku tetapi dialah saudara aku, bukan kamu!!”.
Rumusannya bahawa persaudaraan kerana agama lebih kuat daripada persaudaraan kerana nasab atau keturunan terutama ketika berbeza akidah dan agama.
- Salah seorang sahabat memberi hadiah kepada salah seorang saudaranya kepala kambing, tetapi saudaranya mengirimkan kepada saudara yang kedua, tetapi saudara yang kedua mengirim pula kepada saudara yang ketiga, sehingga hadiah itu kembali kepada orang pertama setelah bertukar tangan sebanyak tujuh orang.
- Dikatakan Masruq mempunyai beban hutang yang banyak. Pada masa yang sama saudaranya Khaitsamah juga menanggung beban hutang. Lalu Masruq telah melangsaikan hutang Khaitsamah tanpa pengetahuannya. Begitu juga Khaitsamah melangsaikan hutang Masruq tanpa pengetahuannya.
Kita mohon kepada Allah supaya menjadikan kita orang-orang yang saling bersaudara kerana Allah.
Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=57511&SecID=363
0 ulasan
Sila berikan komen anda