Saturday, September 18, 2010

Hamba Rabbani Bukan Hamba Ramadhani




Oleh: Dr. ‘Isam al-‘Iryan

Ramadhan telah pergi seolah-olah seperti tetamu yang pulang dan kita tidak merasai kunjungan yang lebih hangat dan indah dari tetamu istimewa ini. Kini tibalah kita merayakan kegembiraan yang pertama kepada orang-orang yang berpuasa. Sabda nabi:

Bagi orang yang berpuasa akan memperolehi dua kegembiraan di mana kegembiraan yang pertama ialah semasa berbuka akan merasa gembira dan kedua apa bila bertemu dengan Allah dengan sebab puasanya”. (Bukhari)

Kegembiraan pertama

Iaitu hadiah kemenangan kepada orang berpuasa setelah menyempurnakan amalan mereka dengan baik dan penuh ihsan. Lalu mereka layak menanti ganjaran daripada Allah dan keluar ke masjid untuk menunaikan solat Eidul Fitri dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan. Para malaikat menemui mereka di sepanjang jalan ke masjid dan surau untuk mengucapkan tahniah dengan berakhirnya bulan Ihsan dan qiam. Mereka saling mengucapkan tahniah antara satu samal lain dengan penerimaan anugerah dariAllah yang bersifat Rahman. Mereka tidak lupa pada hari bahagia ini untuk memberikan kegembiraan kepada orang-orang fakir dan miskin sebelum mereka keluar menunaikan solat Eidul Fitri. Mereka mengeluarkan zakat fitrah untuk membersihkan puasa mereka daripada kekurangan dan memberikan kebahagiaan ke dalam hati orang-orang miskin supaya semua lapisan masyarakat turut merasai kemeriahan Eid Mubarak.

Bagi kita orang Islam sambutan Eidul Fitri diisi dengan takbir, tahlil dan zikrullah seperti sebagai pujian dan kesyukuran kerana memberi peluang kepada kita melaksanakan ibadah puasa yang merupakan salah satu rukun Islam yang agung. Slogan semasa Eid ialah تقبل الله منَّا ومنكم dan laungan kita ialah الله أكبر. Perasaan kita semasa Eid dipenuhi suatu kegembiraan yang diiringi keazaman untuk berpindah dari ketaatan kepada ketaatan yang lain.

Justeru kita merayakan Eid Mubarak dengan menunaikan solat dan merapatkan silaturrahim dengan jiran tetangga, sanak saudara, rakan dan taulan. Bukanlah kita sekadar bergembira dengan pakaian baru, hidangan kuih muih dan bukan sekadar melalui infak dan sedekah kita itu sahaja.

Kegembiraan kedua

Iaitu kegembiraan orang mukmin semasa bertemu dengan Allah. Bagi orang mukmin yang menempuh Ramdhan demi Ramadhan tentu telah memperolehi bekalan setiap Ramadhan untuk dibawa ke bulan-bulan yang lainnya supaya ia benar-benar menjadi seorang hamba yang rabbani dan bukan seorang hamba Ramadhani seperti yang pernah dipesankan oleh para salaf as-soleh.

Puncak kegembiraan orang berpuasa ialah ketika di hadapan pintu Ar-Rayyan yang dibuka untuknya di hari Kiamat nanti dan melaikat akan memanggil orang-orang yang berpuasa supaya masuk dari pintu yang dikhususkan untuknya.

Puncak kegembiraan orang berpuasa juga ialah ketika puasa dan al-Qur’an akan memberi syafaat untuknya dari sisi Allah. Puasa berkata: Ya Tuhan, orang ini menahan dari makan dan minum pada siang hari. Qiam berkata: Ya Tuhan, orang ini menahan dari tidur pada waktu malam. Kedua-duanya merayu kepada Allah yang bersifat Rahman dan syafaat kedua-duany telah diterima Allah. Lalu orang-orang yang berpuasa masuk ke dalam syurga dengan rahmat Allah dan kurniaNya yang besar yang telah dipilih di kalangan hamba yang berpuasa dan mendirikan qiam.

Puncak kegembiraan orang yang berpuasa juga ketika dirinya tergolong dalam orang yang diampunkan dosa-dosa yang terdahulu setiap tahun dan kunjungan Ramadhan tahun demi tahun menghapuskan segala kesalahan dan kejahatan masa lalu. Lalu dirinya bertemu Allah dalam keadaan dosa yang telah terampun. Benarlah sabda nabi saw:

“Solat lima waktu ke solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan berikutnya menghapuskan kesalahan-kesalahan yang terjadi di antara masing-masing selagi kesalahan syirik dijauhi”. (Muslim)

Benar anda telah menjadi hamba yang rabbani dan bukan hamba Ramadhani.

Benar puasa telah meninggalkan kesan dalam mengubah kebiasaan dan tingkah laku muslim dan muslimah kerana puasa telah menukar peribadi yang lalai dan tenggelam dengan maksiat menjadi seorang yang bertaubat dan insaf diri.

Benar seorang hamba keluar dari madrasah puasa selepas 30 hari dengan suatu penyaksian yang melayakkannya memperolehi kegembiraan besar pada hari bertemu dengan Allah.

Tanda sebagai hamba rabbani

- Sentiasa mendampingi Allah, berterusan dalam ibadah dan tidak terputus daripada amal soleh.

-Sentiasa menjaga solat berjamaah di masjid tanpa mencuaikan dalam solat-solat fardunya.

-Sentiasa memastikan hubungan dengan al-Quran dan tidak memisahkannya pada bulan-bulan selepas ramadhan. Berhati-hati dari tenggelam bersama mereka yang meninggalkan al-Quran seperti peringatan Allah kepada nabi saw tentang mereka:

“Dan rasul berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran itu diabaikan”. (Al-Furqan: 30)

Seandainya mahu membuat persediaan untuk Ramadhan akan datang, maka seorang itu hanya akan merasai kemanisan al-Quran dan kesannya ke dalam hati jika ia mengambil bekalal-Quran lebih awal dengan membaca, menghafaz, mentadabur, memperhatikan maknanya. Justeru sepanjang tahun digunakan untuk mempelajari al-Quran, membaca, mentadabur dan mengulangkaji tafsirnya hingga dadanya terbuka tatkala membaca beberapa ayat atau mendengar bacaan al-Quran.

-Tidak terputus daripada melakukan puasa sunat antara dua Ramadhan. Di sunatkan puasa di bulan Syawal seperti yang dinyatakan oleh nabi saw apabila seorang hamba mendirikan puasa Syawal selepas Ramadhan ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun. Ini kerana satu hasanah menyamai sepuluh gadaan. Jumlah hari puasa ialah 36 hari bermakna seolah-olah setahun jikalau digandakan dengan sepuluh.    

Rentetan dari itu sepanjang tahun tersedia kurniaan Allah kepada orang berpuasa. Oleh itu ia bergembira dengan ketibaan 10 hari awal dari bulan Zulhijjah yang terdapat sebaik-baik hari untuk beramal soleh seperti yang dinyatakan oleh nabi saw. Pada penghujungnya terdapat hari yang paling utama “Hari Arafah” di mana ganjaran puasanya menghapuskan dosa dua tahun iaitu setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang. Jikalau seorang hamba berjaya memperolehi Malam Lailatul Qadr pada bulan Ramadhan yang merupakan sebaik-baik malam dan diikuti Hari Arafah dan berdoa kepada Allah sambil memuji dan berthamid kepadaNya, maka seluruh usianya benar-benar berada dalam ketaatan kepada Allah.

-Sentiasa berpuasa sunat tanpa terputus seperti puasa hari Asyura’, puasa hari-hari putih setiap bulan hijrah, puasa isnin dan khamis setiap minggu sehingga puasa baginya telah menjadi satu kebiasaan.

-Sentiasa bersifat belas ihsan kepasa fakir dan miskin dengan mengkhususkan sebahagian dari pendapatan anda untuk bersedekah. Tidak cukup sekadar mengelurkan zakat harta sahaja. Kamu mengambil berat penyaluran sedekah ke tempat dan sasaran yang betul iaitu keluarga miskin, rumah anak-anak yatim, pelajar dan penuntut.

-Sentiasa mengekalkan hubungan persaudaraan, tali silaturrahim dan menziarahi saudara dan jiran tetangga serta mengambil berat cabang-cabang iman.

Inilah insan rabbani yang keluar dari “Madrasah Ramadhan” dengan cemerlang. Seandainya kita Berjaya mengubah jiwa setiap tahun dan memperolehi ‘kemahuan’ beramal soleh, maka kita akan menukar kehidupan sepanjang tahun seumpama Ramadhan. Namun Ramadhan tetap kekal istimewa yang tidak boleh disaingi oleh mana-mana hari atau bulan dalam setahun kerana Allah telah memberi suatu keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain di mana siang dan malamnya mengandungi rahsia yang besar yang tidak mungkin kita ketahui. Di sini kita menyeru orang-orang yang beribadah kepada Allah di bulan Ramadhan kemudian terputus ibadah mereka setelah berakhir bulan puasa yang agung supaya meneruskan apa yang telah mereka lakukan di bulan Ramadhan..Teruskan dengan amalan soleh.

Kita mohon kepada Allah memandang kita dengan pandangan rahmat dan kasih sayang, memberi kita kesihatan dan memanjangkan umur kita sehingga dapat bertemu Ramadhan pada tahun akan datang. Kita berazam bersungguh-sungguh membawa sebanyak-banyak bekal untuk bertemu Allah supaya kita memperolehi kegembiraan bersama orang-orang yang bergembira ketika bertemu Allah nanti.

Setiap tahun anda dalam kebaikan. Taqabballahu minna wa minkum. Selamat Hari Raya Edul Fitri. Dari ketaatan kepada ketaatan sehingga kita menemui Allah.





Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top