Oleh: Dr. Mustafa Syalaby
Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu bertakwa”. (Al-Baqarah: 183)
Melalui ayat ini Allah telah mewajibkan puasa ke atas para mukminin..untuk mencapai matlamat puasa seperti yang ditentukan Allah sejak awal iaitu bertakwa kepada Allah.
Saudaraku yang dikasihi kerana Allah,
Semenjak beberapa minggu yang lalu kita sentiasa berdoa kepada Allah supaya kita bertemu Ramadhan dan Allah telahpun memakbulkan doa kita. Oleh itu, adakah kita mensyukuri nikmat ini?! Kita kini telahpun meninggalkan Ramadhan, maka adakah kita meninggalkan Ramadhan dan berpisah dengannya bagaikan kekasih yang menunggu pasangannya. Dengan membandingkan kerinduan kekasih kepada kekasihnya tentulah saat berlaku perpisahan terdorong suatu keinginan yang mendalam kepada pertemuan yang baru.
Adakah jiwa kita redha dan suka berada di bulan Ramadhan? Adakah diri kita telah tercapai matlamat dan tujuan puasa iaitu takwa?
Alangkah perlunya kita kepada takwa di peringkat individu, keluarga dan masyarakat kerana ketakwaan adalah penyelesaian kepada semua permasalahan di peringkat individu, keluarga dan masyarakat.
Individu
Jelasnya, di peringkat individu, ada individu yang tidak menyempurnakan kewajipan dirinya kepada Allah, individu yang meminum pelbagai minuman yang memabukkan seperti arak, individu yang menderhaka kedua ibubapanya, yang memutuskan hubungan silaturrahim, individu yang mencuri dan menipu, yang merampas hak pusaka saudaranya, individu yang menganiaya orang lain, mendera isterinya, anak-anaknya dan mengganggu jiran tetangganya dan menyusahkan rakan-rakannya, individu pesimis yang merestui kekejaman ke atas dirinya dan orang lain serta tidak berusaha menghentikannya, individu yang terlibat dalam menipu kemahuan rakyat seperti menipu dalam pilihanraya pada mana-mana peringkat sama ada di peringkat dewan undangan negeri atau parlimen, individu yang membantu penzalim melakukan kezaliman mereka, mengkaburi tindakan mereka, menutup rupa mereka yang batil dengan kebatilan yang lain dan lebih parah lagi mereka memfitnah golongan baik, para reformis dan pejuang pembaharuan sebagai jahat. Semua mereka ini penawarnya ialah takwa kepada Allah..Kalau mereka takutkan Allah dan beramal sesuai dengan apa yang diturunkan Allah dan bersedia untuk bertemu Allah tentulah mereka akan meninggalkan amalan dan tingkah laku negative yang telah disebutkan tadi seterusnya membersihkan masyarakat daripada kesan-kesan buruk perbuatan dan tingkah laku ini.
Keluarga
Di peringkat keluarga pula, tercetus pelbagai masalah rumahtangga dan pergeseran keluarga serta banyak kes perceraian hingga menjadi satu isu, umpama satu mahkamah syariah membicarakan lebih 500 kes perceraian dan masalah rumahtangga.
Kes anak-anak menderhaka ibubapa, ibubapa mendera anak dan memutuskan tali persaudaraan. Semua ini penawarnya adalah ketakwaan kepada Allah. Sungguh mengkagumkan bahwa tiga potong ayat masyhur (ayat seribu dinar) yang sentiasa disebut oleh ramai orang mempunyai penawar kepada permasalahan keluarga. Firman Allah:
“Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya”. (At-Talak: 2-3)
“Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, niscaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya”.(At-Talak: 4)
“Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, niscaya dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya”. (At-Talak: 5)
Tiga potong ayat dari surah At-Talak menyatakan factor kemantapan dan kebahagiaan sebuah keluarga di mana Allah meminta para suami (takutlah kamu kepada Allah dengan melayani secara baik isterimu) dan Allah meminta para isteri (takutlah kamu kepada Allah dengan melayani suami kami secara baik). Justeru ketakwaan kamu kepada Allah di dalam pergaulan dan layanan baik antara kamu berdua, akan menjadikan kamu jalan keluar daripada semua masalah di dalam kehidupan kamu dan memberi rezeki dari yang tidak disangka-sangka. Boleh jadi rezeki itu ialah berupa kesejahteraan dan kebahagiaan yang hilang dari kamu berdua..Allah memudahkan segala urusan kamu sungguhpun sukar, memaafkan kesalahan kamu dan mengampunkan segala dosa-dosa kamu serta membanyak dan melipat gandakan pahala kamu.
Kemudian dengarlah pesanan Allah di dalam firmanNya:
“Hai orang-orang mukmin, Sesungguhnya di antara Isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu. Maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) Maka Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (At-Taghabun: 14)
Oleh itu penyelesaian bagi masalah keluarga ialah ketakwaan kepada Allah. Ini kerana takwa membangkitkan ketakutan kepada Allah, beramal dengan apa yang diturunkan dan bersedia bertemu Allah dengan memaafkan, tidak memarahi dan mengampuni kesalahan orang. Sudah tentu yang lebih utama ialah keluarga dan kaum kerabat kerana orang yang paling baik di kalangan kamu ialah yang baik terhadap ahli keluarganya.
Masyarakat
Di peringkat masyarakat, di antara masalah yang tercetus ialah merampas hartabenda orang, menyekat kebebasan berpolitik, kediktatoran di dalam pemerintahan, memalsukan kemahuan rakyat dengan menipu dalam pilihanraya dalam semua peringkat seperti pilihanraya majlis perwakilan pelajar di universiti, pilihanraya di peringkat dewan undangan negeri dan parlimen, dan menggadaikan kepentingan rakyat untuk tunduk dengan musuh umat seperti menjual gas dan petrol kepada musuh umat. Semua permasalahan ini penawarnya ialah takwa kepada Allah.
Keadilan Umar bin al-Khattab dan Umar bin al-Aziz hanya dengan takwa kepada Allah. Rakyat dan para pekerja hanya berlaku jujur menjaga jabatan Negara pada zaman Umar setelah Umar al-Khattab berlaku jujur dalam menjaga Baitul Mal dan bertakwa kepada Allah. Benarlah ada orang berkata kepada Umar: “Kamu berlaku jujur tentu mereka juga berlaku jujur, dan kalau engkau hidup mewah tentu mereka juga hidup mewah!!”.
Satu malam Umar sendiri yang memikul tepung di atas bahunya untuk memberi makan kepada kanak-kanak yang sedang menangis kelaparan. Pada ketika itu anak lelaki Umar memintanya untuk memikul tepung itu menggantikan ayahnya. Lalu Umar menempelak dengan katanya: “Adakah engkau sanggup memikul kesalahanku di hari Kiamat nanti?
Apakah yang mendorong Umar untuk memikul tanggungjawab terhadap manusia dan haiwan? “Kalau ada baghal betina mandul di Iraq, tentu Umar akan bertanya tentangnya”
Dorongan untuk berbuat begitu hanya kerana takwa kepada Allah dan takutkan Allah!!
Apakah yang mendorong Umat untuk mempraktikkan keadilan antara dua pihak yang dijatuhi hukuman walaupun berbeza agama mereka. Umar telah memenangkan orang nasrani dari orang muslim, bahkan dari gabenor Mesir, Amru bin Al-‘As r.a sambil berkata dengan ucapan yang masyhur: “Sejak bilakah kamu menyembah manusia sedangkan kamu dilahirkan merdeka dari perut ibumu”.. Dorongan Umar untuk berbuat begitu hanyalah kerana takwa kepada Allah dan takutkan Allah.
Justeru saya ulangi kenyataan saya: Sesungguhnya penyelesaian bagi semua permasalahan kita di peringkat individu, keluarga dan masyarakat adalah takwa kepada Allah ..takut kepada Allah dan beramal dengan apa yang Allah turunkan. Dengan sebab itu para sahabat mengetahui nilai Ramadhan dan sejauh mana hajat mereka kepada Ramadhan. Mereka membahagikan setahun kepada dua bahagian; setengah tahun untuk berdoa kepada Allah agar menerima Ramadhan mereka dan setengah tahun lagi berdoa kepada Allah agar mempertemukan mereka dengan Ramadhan.
Saudaraku yang dikasihi,
Apakah yang dilakukan iman setelah Allah tanamkan di dalam hati di bulan Ramadhan? Firman Allah:
“Meraka Itulah orang-orang yang Telah menanamkan keimanan dalam hati mereka”. (Al-Mujadalah: 22)
“Tetapi Allah menjadikan kamu 'cinta' kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu”.(Al-Hujurat: 7)
Saya mohon kepada Allah supaya menanamkan iman di dalam hati kita, menjadikan kita cinta kepada iman dan menjadikan iman itu indah di dalam hati kita dan hati seluruh muslimin. Amin Amin. Allah berselawat dan salam ke atas nabi Muhammad, keluarga dan para sahabatnya.
0 ulasan
Sila berikan komen anda