Oleh: Syeikh Hijazi Ibrahim Tsarya
Firman Allah:
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?". (Fusshilat: 33)
Kebanyakan university dan pusat pengajian dalam jurusan Usuludin, Syariah, Dakwah dan Pendakwah menitik beratkan pelajarnya dibekalkan dengan bekalan ilmu yang membantunya berceramah kepada manusia, mengajak mereka kepada ketaatan dan mengingatkan mereka supaya menjauhi maksiat. Namun pada masa yang sama melupakan usaha menyuburkan kerohanian di dalam kehidupan pendakwah. Oleh itu seandainya pendakwah keluar daripada university setengah mereka fasih berbicara dan petah berkata-kata tetapi sedikit iman. Ramai telah kehilangan senjata: “Limpahan iman dan limpahan kata”.
Rentetan dari itu masjid-masjid dipenuhi dengan pendakwah yang perlukan orang yang mengajak mereka kepada keimanan dan keyakinan tentang ketinggian risalah mereka, kemuliaan tugas mereka dan keyakinan bahawa dakwah ini adalah risalah bukan jawatan atau kerjaya.
Seandainya pendakwah mempunyai keimanan dan keyakinan ini tentulah umat memiliki kekuatan yang agung. Dalam hal ini almarhum Syeikh Muhammad Ghazali menyatakan: “Pembentukan duat bermaksud pembentukan umat. Umat yang agung bukanlah boleh dibentuk secara sembarangan tetapi melalui pembentukan yang betul kepada sekumpulan duat yang berwibawa. Kesan lelaki yang cemerlang ke atas orang di sekelilingnya umpama hujan yang membasahi tanah yang kontang dan tandus dan kesan sinar matahari ke atas tempat yang gelap gulita. Pendakwah yang ikhlas mampu melakukan keajaiban di dalam jiwa, mampu menyatukan golongan yang berpecah, mengajar orang yang jahil, mendekatkan yang jauh, mampu menyentuh orang di sekelilingnya dengan usahanya yang luar biasa. Justeru pendakwah yang sebegini mampu memimpin ke arah yang ia ingini”. (Dirasat Fi ad-Da’wah Wa ad-Duat)
Apa yang diperintah rasul tidaklah jauh dari kita. Mereka telahpun membentuk umat..dan dakwah yang mengajak kepada pembaikan di dalam sejarah Islam tidaklah jauh dari kita..Bukankah hal ini terjadi kerana peribadi-peribadi yang hidup dengan Islam, lalu bekerja membangkitkan umat dari kematian..
Firman Allah:
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?". (Fusshilat: 33)
Hasan al-Basri mentafsirkan ayat ini dengan katanya: “Ini adalah kekasih Allah. Ini adalah wali (penolong) Allah. Ini adalah barisan yang dipilih Allah. Ini adalah manusia terbaik yang dipilih Allah. Ini adalah penduduk bumi yang cinta kepada Allah. Allah telah menerima dakwah mereka yang mengajak manusia kepada perkara yang Allah redhai dari dakwahnya dan amal yang soleh dan berkata sesungguhnya saya termasuk orang yang menyerah diri. Ini adalah khalifah Allah”. (Tafsir Ibn Kathir)
As-Sayuti memetik kata-kata Qatadah: “Ini adalah hamba yang benar pada perkataan dan perbuatannya, segala yang masuk dan keluar dari mulutnya, rahsia dan terangnya, semasa kewujudan dan ketiadaannya”. (Ad-Dur al-Manthur Fi at-Tafsir bil-Ma’thur)
Justeru melalui pembentukan duat yang ikhlas dan benar akan memakmurkan masjid dengan rijal yang ikhlas dan benar, bahkan meramai dan membiakkan rijal, dan memohon Allah menggantikan mereka yang hanya bagaikan buih umat yang hanyut dalam kesesatan dan berada dalam kehinaan dan kerendahan. Melalui penggantian ini umat kembali mencapai kemuliaannya dan meninggikan kesucian dan keagungannya dan seterusnya mempersembahkan kepada dunia suatu penawar yang mujarab bagi mengubati segala macam penyakit dan menyelesaikan segala permasalahan. Dengan itu kita membawa rahmat kepada seluruh alam seperti yang dikehendaki Allah ke atas umat ini. Firman Allah:
“Alif, laam raa. (Ini adalah) Kitab yang kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gulita kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (yaitu) menuju jalan Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji”. (Ibrahim: 1)
Firman Allah:
“ Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”. (Al-Anbiaya’: 107)
Firman Allah:
“Dan kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada Mengetahui”. (Saba’: 28)
.Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=70787&SecID=363
0 ulasan
Sila berikan komen anda