Thursday, September 9, 2010

Perasaan di Kala Menyambut Eidul Fitri



Oleh: Asyraf Bukhait

Hari ini adalah hari Eidul Fitri

Telah berlalu detik-detik malam, kini muncul cahaya fajar dan bergema laungan takbir yang menandakan berlalunya malam dan mulai menyingsing sinar subuh..manusia bergegas bangun dari tempat perbaringan dan tergambar keriangan di wajah mereka..kerana hari ini adalah hari Eidul Fitri..1 syawal.

Mereka menanggalkan pakaian tidur dari tubuh dan mengenakan pakaian serba baru kemudian melaungkan takbir dengan penuh syahdu di masjid dan surau..kerana hari ini adalah hari Eidul Fitri.

Begitu indah malam itu..malam raya..manusia menanti kemunculan sinar mentari dengan penuh keriangan untuk memakai pakaian baru..Bukankah kita telah baca pada malam raya itu kita tidur sambil menanti subuh raya seakan-akan lebih besar daripada menanti hari kebangkitan besar (selepas mati) ketika terbit matahari dengan cahaya Allah?

Seolah-olah pada malam hari raya ada orang yang memanggil kita: Kini anda menunggu-nunggu detik hari raya selepas anda terjaga dari tidur..maka adakah anda menunggu hari raya seperti anda menunggu hari kebangkitan anda kepada Allah Tuhan semesta alam? Kini anda menanti saat riang dan gembira selepas anda tidur kecil..maka adakah anda menanti saat riang dan gembira selepas anda tidur besar (mati) nanti? 

Hikmah Eidul Fitri

Allah telah mensyariatkan kita hari Eidul Fitri dan Eidul Adha. Allah telah menentukan hari Eidul Fitri selepas salah satu rukun Islam yang lima iaitu ibadah puasa dan Allah telah tentukan hari Eidul Adha selepas salah satu rukun Islam yang lima juga iaitu ibadah haji..Ini merupakan hukum yang bijak dan agung yang wajar kita ambil pengajaran dan perhatian..Setiap kali kita menyambutnya mesti dimulakan dengan ibadah dan ketaatan, kerana Eidul Fitri selepas ibadah puasa dan qiam sementara Eidul Adha selepas ibadah haji..Ini merupakan suatu latihan amali menanti ketibaan hari raya hanya selepas ibadah wajib selesai ditunaikan..Bukankah anda telah lihat keagungan, kebijaksanaan dan ketelitian syariat Islam?

Sesungguhnya malam Eidul Fitri memberi makna yang baru pada diri saya. Oleh itu saya menanti ketibaan siang Eidul Fitri selepas saya tidur pada malamnya dengan mentaati perintah Allah. Kalau Allah telah tetapkan berlaku hari kebangkitan sebagai Eid untuk saya maka saya mestilah mendahulukan kematian saya dengan ketaatan dan ibadah kepada Allah..Jikalau malam raya sebagai pemisah antara puasa atau haji dan subuh raya, dan jikalau kubur sebagai pemisah antara dunia dan akhirat,  maka jadikanlah kehidupan sebelum kubur itu dipenuhi ibadah kepada Allah supaya di akhirat nanti sebagai raya kepada manusia. Anda telah melihat semua manusia berbeza pakaian mereka antara yang kaya dan miskin di pagi raya. Saya katakan: Wahai Tuhanku..manusia saling berbeza di dunia ini berdasarkan kemampuan masing-masing, manusia juga saling berbeza di akhirat nanti berdasarkan amalan yang dilakukan semasa di dunia. Firman Allah:

“Maka barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah,nescaya dia akan melihatnya (balasannya).”. (Az-Zalzalah: 7-8)

Di antara mereka ada yang memakai pakaian syurga. Firman Allah:

“Mereka berpakaian sutera halus yang hijau dan sutera tebal dan memakai gelang terbuat dari perak dan Tuhan memberikan kepada mereka minuman yang bersih dan suci”. (Al-Insan: 21)

Di antara mereka ada yang diberikan pakaian ahli neraka. Firman Allah:

“Pakaian mereka dari cairan aspal dan wajah mereka ditutup oleh api neraka”. (Ibrahim: 50)

Saudara yang dikasihi,

Seandainya anda bangun dari tidur pada pagi subuh Eidul Fitri dengan penuh keriangan dan kegembiraan, katakan sekarang saya bangun dengan gembira dan riang di sini..adakah saya akan bangun dengan gembira dan riang di sana nanti? Sekarang saya memakai baju yang baru di sini, maka adakah saya akan memakai baju di sana?


Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top